10 Bahasa Dosa Penyebab Anak Degil dan Bermasalah

10 “Bahasa Dosa” Penyebab Anak Degil dan Bermasalah | Zaman sekarang sangat mencabar untuk anak-anak kita membesar. Persekitaran mereka dipenuhi bermacam pengaruh buruk, sama ada daripada orang sekeliling, media TV, internet dan bahan bacaan. Masalah sosial dan salah laku dalam masyarakat juga makin bertambah melarat. Kadang-kadang saya rasa kesian pada anak-anak, kerana terpaksa melalui suasana sebegini mencabar, bukan saja pada jati diri dan survival, tapi juga pada moral dan akhlak, serta akidah. Nak tak nak kita sebagai ibu bapa kena persiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) untuk mendidik anak-anak sebaik mungkin.

tips parenting-cara bercakap dengan anak

Cara kita bercakap dengan anak boleh membina ataupun meruntuh jiwa anak. *image googled*

Kalau kita perhatikan orang-orang yang bermasalah, contohnya para penjenayah, anak yang derhaka, remaja yang keciciran sekolah, yang ada depression, dll, semuanya tak jadi begitu dalam sehari dua. Ia bermula dari rumah, dari tangan-tangan ibu ayah atau penjaga yang mendidiknya.

Anda boleh lihat sendiri hasil asuhan ini pada komen-komen di FaceBook yang penuh dengan bahasa hukuman yang kasar dan penuh maki hamun. Itu baru di alam maya, belum lagi tengok yang di dunia nyata. Realitinya memang menyedihkan.

Bila selalu berdiskusi dengan pakar psikologi, Dr. Azlina Roszy, makin terlihat banyak kesilapan cara mendidik anak yang dilakukan oleh rata-rata orang kita hingga menjejaskan pertumbuhan mental emosi anak-anak.

Aku dulu pun selalu kena marah, kena rotan juga. Tapi elok je jadi orang sampai sekarang.

Memang ramai yang berfikiran begini. Tapi anda mungkin tidak tahu berapa ramai yang menyimpan dendam, rasa terkilan, dan trauma hingga dewasa kerana pengalaman dibesarkan yang tidak indah. Setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza-beza. Anda “OK”, tak bermakna orang lain pun begitu juga.
penyebab anak degil dan bermasalah-tips didik anak berjaya

Saya rasa masih ramai yang tidak sedar bahawa cara dibesarkan yang penuh makin hamun, neglection dan kurang perhatian dan kasih sayang banyak menjadikan ramai daripada kita menyimpan beban emosi yang sangat berat.
Sesetengahnya (terutama anak remaja) memilih untuk `memberontak` dan membuat masalah di sana sini kerana tak tahu ke mana nak disalurkan kesunyian, kesedihan dan kekecewaan mereka. Paling menyedihkan lagi, ada juga yang terpaksa menanggung kesan “kecederaan emosi” ini hingga dewasa, sampai ada yang dilanda kemurungan@depression dan bermacam lagi penyakit mental yang lain disebabkan cara dibesarkan yang salah.
(By the way, sakit mental tak semestinya menjadi gila. And no, kurang iman bukan punca manusia menjadi depressed. Ia jauh lebih kompleks daripada yang ramai orang sangka! )

Satu hal yang sering menjadi penyebab anak degil dan bermasalah tapi dianggap remeh adalah soal komunikasi yang kurang berkesan. Kadang-kadang kita menunjukkan perhatian dan kasih sayang dengan bahasa yang salah hingga anak-anak jadi terluka dan menjauhkan diri. Bahasa sebegini juga akan menjadikan anak-anak degil tak mahu mendengar cakap, pemarah, pendendam, lemah jiwa dan tiada keyakinan diri/rendah diri.

Hakikatnya, dengan memilih perkataan yang baik dan sesuai pada tempat dan masanya, boleh memberikan impak yang sangat besar kepada pertumbuhan emosi anak. Sebab itu kena hati-hati, jangan sampai membunuh jiwa anak hingga menjadikan mereka rendah diri, takut, rasa tidak disayangi dan rasa tidak berguna.

10 “Bahasa Dosa” penyebab anak degil dan bermasalah yang wajib dielakkan ketika bercakap dengan anak

Dua minggu lepas saya berkesempatan untuk menghadiri seminar pendek bertajuk “Memupuk Suasana Mawadah Wa Rahmah Di Sekolah dan Rumah” yang dianjurkan oleh sekolah anak kami. Penceramah yang dijemput adalah Dr. Azlina Roszy Bt. Mohamad Ghaffar, pakar psikologi klinikal di Hospital Pakar An-Nur (Bangi), yang juga pemilik Pusat Psikologi & Rehabilitasi Atfal Jannah di Bandar Putra, Kajang.
program keibubapaan bersama Dr. Azlina Roszy

Saya tertarik dengan salah satu isi yang beliau kongsikan, iaitu mengenai “10 Bahasa Dosa Dalam Berbicara“. Sama ada sedar ataupun tidak, ramai daripada kita ibu bapa yang selalu menggunakan “bahasa dosa” ini pada anak-anak. Dan dalam kebanyakan keadaan,  inilah antara penyebab anak degil dan bermasalah, pemarah, pendendam, lemah jiwa dan tiada keyakinan diri/rendah diri, walaupun kita rasa sudah pun memberikan didikan agama dan mencukupi keperluan mereka.

1) Bahasa MELAKNAT
Contohnya, sumpah seranah, maki hamun, carutan menggunakan perkataan yang buruk.

Anak yang sering ditengking dan dimaki hamun biasanya sama ada menjadi seorang yang keras jiwanya dan rebellious, ataupun seorang yang kurang keyakinan diri. Ini mengingatkan saya pada status FB seorang kenalan saya yang mengendalikan sebuah tadika. Kesian, kan?
kesan membandingkan anakkesan membandingkan anak

2) Bahasa MENYINDIR (SARCASM)
Contoh :
“Asyik mintak duit aje. Kamu ingat ayah/ibu nie kerja cop duit?”
“Kan dah jatuh. Mata letak kat mana, kat lutut?”

Bahasa sebegini sangat merobek emosi. Hakikatnya, anak-anak tak faham bahasa sindiran. They won`t get the message. Lebih baik berterus-terang dan gunakan ayat yang jelas dan mudah difahami.

Tak dinafikan budaya sindir menyindir sangat menebal dalam masyarakat kita. Tapi budaya sarcasm ini memang ALlah larang.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) menyindir dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan menyindir dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka.”
[al-Hujurāt 49: 11]

Artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal @Abah.My sangat menginsafkan bahawa bahasa sarcasm boleh membunuh jiwa anak. Kita hentikan ya. 🙂

3) Bahasa BERDUSTA/MENIPU
Contoh :
“Jangan nangis ya, nanti ibu belikan aiskrim….” (tapi akhirnya tak beli pun, cuma untuk memujuk supaya diam)
“Jangan nakal-nakal, nanti polis tangkap.”
“Jangan main kat situ, ada hantu.”

Ayat-ayat di atas biasa diucapkan oleh masyarakat kita. Saya kira, hadis di bawah sangat baik untuk dijadikan panduan. Jangan berbohong kepada anak! Ia akan menghilangkan kepercayaan anak pada ibu bapa dan akhirnya meniru perbuatan tersebut.

“Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’ Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud)

Belajar untuk terangkan dan memujuk dengan lembut dalam bahasa yang mudah.

4) Bahasa MENEMPELAK
Contoh :
“Padan muka.”

“Tue lah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah luka. Lain kali buatlah lagi.”

Anak-anak tak dapat belajar apa-apa daripada ayat yang memancing emosi sebegini. Sepatutnya, beritahu saja apa kesilapan tersebut dan nasihatkan supaya tak mengulanginya.

5) Bahasa MENGKRITIK/MEMBEBEL
Yang nie mungkin ramai ibu biasa buat, tapi ianya memang tak bagus untuk anak sebab tiada siapa suka dileteri. Kalau nak berikan arahan ataupun menegur, gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Fokus pada kebaikan yang mereka buat. Hakikatnya, anak yang sentiasa dikritik takkan maju ke depan, malah akan hilang keyakinan diri mereka.

6) Bahasa MENGUNGKIT (Surah al-Baqarah, ayat 264)
Contoh :
Kenapa result teruk macam nie? Buat penat je ayah/ibu hantar pegi tuisyen, belikan buku dan macam-macam. Tapi tak pandai-pandai juga..

Kuncinya, ikhlaskan hati dan banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak.

7) Bahasa MEMBANDINGKAN
Contoh :
“Cuba kamu tengok abang/kakak, rajin tolong ibu di rumah. Tak macam kamu nie, asyik nak bermain saja.”
“Kenapalah kamu nie tak pandai macam adik. Asyik dapat nombor corot saja.”

Boy is jealous parents of younger sister

Jangan bersikap pilih kasih terhadap anak-anak. *image googled*

Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Perbuatan melebihkan/menyayangi anak-anak tertentu (=favoritism @ pilih kasih) hanya akan menjadikan anak-anak lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan depressed. Hubungan antara anak-anak juga akan retak dan dalam banyak keadaan, sibling rivalry akan berterusan sekalipun setelah dewasa dan beranak-pinak. Anda boleh baca rintihan seorang anak 12 tahun yang sangat terkesan dengan keadaan nie, seperti yang diceritakan oleh Ustaz Ebit Lew di FaceBook. Kesian, kan?
penyebab anak degil dan bermasalah

Saya suka dengan nukilan Encik Nazali di FaceBook tentang kesan perbuatan membanding-bandingkan anak. Saya yakin pengalaman tersebut dapat menginspirasikan dan memberikan pengajaran untuk semua ibu bapa supaya melayani anak-anak dengan adil dan penuh kasih sayang.

8) Bahasa MENGUGUT
Contoh :
“Kalau lepas main tak nak kemas, ayah/ibu buang semua mainan.”
“Kalau tak berhenti menangis, ayah/ibu tinggal.”
“Kalau tak nak dengar cakap, ayah/ibu pukul.”

penyebab anak degil dan bermasalah-kesan mengugut anak

Jangan ugut atau menakut-nakutkan anak. *image google*

Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tapi bukan dengan mengugut. Sebab itu, ibu bapa perlu tetapkan peraturan di rumah beserta denda jika ia dilanggar, dan ini diterangkan kepada anak-anak. Yang penting, kena konsisten, tegas (bukan garang) dan hukumannya juga perlu berpatutan. insyaAllah anak-anak akan mudah faham akibat perbuatan mereka serta jadi lebih berdisiplin. Penggunaan STAR CHART juga sangat bagus untuk mendisiplinkan dan motivasikan anak berbuat baik.

9) Bahasa MENUDUH
Contoh :
“Macam mana barang boleh hilang? Nie mesti kamu yang cuai bermain sampai tercicir.”
“Kenapa adik menangis nie? Abang/kakak buat ya?”

Sebaiknya siasat dulu untuk tahu keadaan sebenar, dan berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis. Itu memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus-terang dan mengaku kesalahan (jika bersalah) dengan jujur.

10) Bahasa BISU (silent treatment)
Dengan mendiamkan diri tak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan mereka. Bahkan akan membuatkan mereka rasa lebih tidak disayangi serta menjauhkan diri.
tips elak anak degil dan bermasalah

Parenting sememangnya sangat mencabar dan memerlukan kekuatan mental emosi yang tinggi. Ia juga satu perjuangan yang panjang dan melelahkan. Tapi tiada yang lebih manis apabila anak yang kita didik dan asuh itu membesar menjadi manusia yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, serta menjadi pemimpin kepada lingkungan masing-masing. 

Sama-samalah kita usaha tingkatkan parenting skills dan elakkan bahasa percakapan seperti di atas ya.  🙂 

=========================================================

UNTUK PERTANYAAN & ORDER :
======================
SMS/WhatsApp/Telegram +6018-369 0361 (Oja)

Kami juga mengalu-alukan anda untuk terus order sebarang produk Shaklee kegemaran secara online menggunakan credit card / debit card melalui link di bawah. =)

esell-shaklee-logoa2PNG

Kami merupakan Pengedar Shaklee Bandar Dato Onn, Johor Bahru, dan Pontian (ID 864914).
Menyediakan khidmat Cash-on-Delivery (COD) produk Shaklee untuk kawasan sekitar Bandar Dato Onn, Taman Daya, Adda Heights, Taman Setia Indah, Taman Seri Austin, Taman Bukit Mutiara, Taman Delima, Setia Tropika, JP Perdana, sekitar Kempas, Larkin, Permas Jaya, Kangkar Tebrau, dll.
Juga penghantaran ke seluruh Malaysia melalui khidmat kurier.

20 Comments

  1. Noriza Rahman 20 August 2015
  2. Arnie 21 August 2015
  3. Dr Fattah 21 August 2015
  4. Hairul Hissam 21 August 2015
  5. Mummy Dina 22 August 2015
  6. auntiekemai 23 August 2015
  7. Sheila Wahid 23 August 2015
  8. rozz 23 August 2015
  9. Pingback: Doa Melembutkan Hati Anak 23 August 2015
  10. ashhusna asleen 23 August 2015
    • Oja Samid 23 August 2015
      • mummyziqrilqalisyamarissa 31 October 2016
  11. Yana 23 August 2015
  12. musang 24 August 2015
    • Oja Samid 24 August 2015
  13. huda 26 August 2015
    • Oja Samid 26 August 2015
  14. titan 25 October 2015
  15. hamba Allah 5 September 2016
  16. Zai 27 September 2016
  17. ariana 30 September 2016
error: Content is protected !!